Industri MICE Rancak Semula Ekonomi Negara – MACEOS
18445
post-template-default,single,single-post,postid-18445,single-format-standard,bridge-core-2.1.9,ajax_fade,page_not_loaded,,hide_top_bar_on_mobile_header,qode-theme-ver-22.5,qode-theme-bridge,qode_header_in_grid,wpb-js-composer js-comp-ver-6.1,vc_responsive,elementor-default
 

Industri MICE Rancak Semula Ekonomi Negara – MACEOS

Industri MICE Rancak Semula Ekonomi Negara – MACEOS

Industri mesyuarat, insentif, persidangan dan pameran (MICE) berperanan penting dalam menarik tumpuan pelabur, sekali gus membawa pelaburan langsung asing (FDI) ke dalam negara.

Bagaimanapun, sejak pandemik COVID-19 melanda dunia, industri ini terpaksa menghentikan sementara aktivitinya mulai awal tahun ini dan mengakibatkan pendapatan pelbagai pihak terutama penganjur acara serta penggiat perhotelan serta pelancongan terjejas.

Ahli Majlis Tertinggi Persatuan Penganjur dan Pembekal Persidangan dan Pameran Malaysia (MACEOS), Jaggarao Simancha, berkata walaupun kerajaan memberi kelonggaran dengan membenarkan penganjuran persidangan dengan had kehadiran sebanyak 250 orang, pihaknya berharap keadaan akan bertambah baik selepas Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) berakhir pada 31 Ogos ini.

“Industri ini adalah yang pertama ditutup akibat COVID-19 dan pelbagai pameran serta persidangan yang dirancang sejak tahun lalu terpaksa dibatalkan sehingga satu tarikh akan datang.

“Ini meletakkan pemain industri dalam keadaan tenat selepas terpaksa menanggung kerugian,” katanya dalam program Ruang Bicara membincangkan topik ‘Industri Pameran Pemangkin Ekonomi Negara’ yang disiarkan saluran Bernama TV malam tadi.

PKP bermula mulai 18 Mac lalu dan dilaksanakan dalam empat fasa sehingga 3 Mei sebelum disambung dengan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) mulai 4 Mei hingga 9 Jun dan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) berkuat kuasa 10 Jun sehingga 31 Ogos.

Jaggarao berkata, sehingga kini pihak penganjur acara MICE masih dalam situasi tunggu dan lihat sebelum melakukan perancangan selepas PKPP ditamatkan.

“Kami berharap pihak kerajaan dapat menimbangkan kelonggaran untuk memberikan laluan hijau (green lane) kepada negara yang berjaya mengawal penularan COVID-19 seperti Taiwan, Jepun, Korea Selatan, Thailand, Vietnam dan Singapura untuk datang ke Malaysia.

“Industri ini (penganjuran MICE) lebih teratur berbanding dengan pasar malam contohnya, kerana setiap pusat konvensyen mempunyai sistem yang lengkap dan mampu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan,” katanya.

Beliau berkata, selain menarik tumpuan pelabur asing ke dalam negara, industri MICE juga memainkan peranan penting untuk menarik ketibaan pelancong ke dalam negara, sekali gus merancakkan pelbagai sektor khususnya pelancongan.

“Sebagai contoh, Pameran Udara dan Maritim Antarabangsa Langkawi (LIMA) yang menarik perhatian peserta industri serta pelancong dari serata dunia melonjakkan sektor pelancongan di pulau bebas cukai itu selain melakar nama Langkawi di persada antarabangsa,” katanya.

LIMA bagi edisi 2019 juga menyaksikan lebih RM4 bilion janji niaga dan kontrak ditandatangani.

“Maka, penting untuk penganjuran pameran serta persidangan berjalan seperti biasa selepas berakhirnya COVID-19 ini untuk merancakkan semula ekonomi negara,” katanya. – BERNAMA


Source: Berita Harian

Tags: